Peningkatan penggunaan komputer di kalangan masyarakat samada untuk tujuan kerja, pembelajaran mahupun bagi tujuan- tujuan lain seperti permainan komputer, melayari internet atau pencarian maklumat telah menimbulkan kebimbangan akan tentang kesannya terhadap fungsi penglihatan secara khususnya, serta kesihatan umum secara amnya. Dianggarkan 25% hingga 93% pengguna komputer mengalami simptom-simptom yang dikaitkan dengan penggunaan komputer.
Gejala
dan tanda
Diantara
simptom-simptom yang biasa dialami oleh pengguna komputer tegar ialah:
- Sengal-sengal mata (eyestrain)
- Kabur penglihatan
- Mata kering (dry eyes)
- Ketidakselesaan penglihatan
- Sakit kepala.
- Simptom-simptom lain yang turut disebabkan oleh penggunaan komputer seperti sakit dibahagian tengkuk dan juga belakang badan (back and neck pain).
Semua
simptom-simptom ini boleh digolongkan sebagai tanda-tanda klasik bagi sindrom
penglihatan penggunaan komputer (computer vision syndrome). Bagi
mengatasi dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna
komputer ini, peranan Optometris sebagai pengamal jagarawatan mata primer untuk
penglihatan adalah amat penting.
Diagnosis,
Pencegahan, Rawatan dan Rehabilitasi
Diagnosis
dan rawatan bagi sindrom penglihatan penggunaan komputer adalah tugas yang amat
mencabar bagi seorang Optometris kerana ia melibatkan faktor-faktor penglihatan
dan okular serta faktor-faktor ergonomik seperti pencahayaan, postur ketika
penggunaan komputer, posisi dan kedudukan komputer itu sendiri. Namun begitu,
ini tidak bermakna masalah ini tidak boleh diatasi dan diselesaikan dengan
kaedah pendiagnosian dan rawatan yang betul seperti berikut : Pemeriksaan
Penglihatan Pemeriksaan penglihatan khususnya oleh Optometris secara
menyeluruh dan komprehensif mampu memberikan jalan penyelesaian bagi mereka
yang menghadapi simptom-simptom yang berkaitan dengan penggunaan komputer.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa selain pendekatan optometrik, sindrom
penglihatan komputer memerlukan pendekatan multidisiplin yang bukan sahaja
melibatkan terapi secara okular malahan juga beberapa perubahan ergonomik
khususnya dari segi pengubahsuaian tempat kerja supaya dapat mengurangkan, jika
tidak melenyapkan, simptom-simptom yang berkaitan dengan penggunaan komputer.
Gambarajah menunjukkan cahaya
berlebihan yang menyilaukan mata ketika menggunakan komputer
Pencahayaan Pencahayaan adalah
amat penting di dalam menentukan keselesaan penggunaan komputer. Pencahayaan
yang sesuai dapat membolehkan pengguna komputer meningkatkan tahap keselesaan
serta prestasi dan juga meminimumkan gangguan serta keletihan visual (visual
fatigue).
- Persekitaran yang ideal ialah persekitaran yang mempunyai tahap kecerahan yang sekata pada keseluruhan medan penglihatan pengguna komputer . Lampu kalimantang (fluorescence lamp) yang terlalu terang perlu dikurangkan kecerahannya dengan mengurangkan penggunaan jumlah tiub lampu.
- Letakkan lampu dalam posisi yang sesuai untuk memaksimakan pencahayaan apabila menjalankan tugas yang perlu ketepatan atau ketelitian. Pada masa yang sama ia dapat mengurangkan silau pada skrin komputer.
- Sumber cahaya yang berlebihan yang datang dari tingkap perlu dikurangkan dengan penggunaan langsir atau menggelapkan tingkap terbabit. Namun begitu, sekiranya sumber-sumber cahaya yang berlebihan tidak dapat dielakkan, pengubahsuaian terhadap tempat kerja komputer perlu dibuat, seperti beralih ke posisi tempat yang sumber cahaya memadai.
- Penggunaan penapis anti-silau juga dapat membantu mengurangkan silau dan meningkatkan kontras paparan komputer, yang berpunca daripada sumber cahaya yang berlebihan. Ini dapat membantu mengurangkan pantulan cahaya seterusnya mengurangkan ketidakselesaan visual.
- Mengubah posisi monitor komputer juga boleh mengurangkan silau.
- Kontras/keterangan monitor komputer juga boleh diubah mengikut kesesuaian individu.
Gambar menunjukkan pencahayaan yang
baik ketika mengguna komputer
Ergonomik Ergonomik yang
sesuai perlu diamalkan oleh setiap individu yang banyak menggunakan komputer.
Di samping itu juga, suai-letak paparan komputer yang memainkan peranan dalam
memberikan keselesaan kepada penggunaan komputer. Prinsip asas seperti berikut
boleh diamalkan :
- Jarak skrin paparan daripada mata supaya berada di antara 16 hingga 30 inci.
- Skrin paparan berada 10 hingga 20 darjah di bawah paras mata.
- Kekalkan postur yang baik semasa bekerja
Dengan
cara ini, simptom-simptom fizikal akibat postur yang salah seperti sakit
tengkuk, bahu dan belakang dapat dielakkan, dan keselesaan penggunaan komputer
juga dapat ditingkatkan.
Gambarajah menunjukkan postur yang baik
ketika menggunakan komputer
Masalah
Berkaitan Penglihatan Seseorang
1.
Penglihatan Lesu (Visual Fatigue) Penggunaan komputer yang berterusan
untuk jangka masa yang lama didapati menyumbang kepada masalah-masalah yang
berkaitan penglihatan. Adalah disarankan supaya pengguna komputer berehat
selepas menggunakan komputer berterusan untuk sesuatu jangka waktu :
- Merehatkan sistem akomodasi mata dengan memandang objek-objek jauh dua kali setiap jam selama satu hingga dua minit sebelum meneruskan tugasan komputer. Ini membolehkan sistem okular khususnya sistem akomodasi direhatkan seterusnya dapat menghindari masalah-masalah seperti kabur penglihatan sementara serta sengal-sengal mata yang lazim dialami akibat penggunaan komputer secara berterusan.
2. Sindrom Mata Kering (Dry Eye Syndrome) Turut menerima kesan
terhadap penggunaan komputer yang berpanjangan ialah sistem lubrikasi okular di
mana pengguna komputer akan kurang mengelipkan mata ketika penggunaan komputer
menyebabkan air mata pra-kornea lebih cepat tersejat ke persekitaran. Ini boleh
mengakibatkan rasa iritasi dan juga kepedihan mata akibat sindrom mata kering (dry
eye syndrome).
- Penggunaan titisan lubrikasi seperti titisan air mata tiruan (artificial tears) yang boleh didapati di farmasi-farmasi serta prakris-praktis optometri yang berhampiran. Namun begitu, konsultasi daripada optometrist adalah penting sebelum sebarang cecair lubrikasi digunakan khususnya bagi pemakai-pemakai kanta sentuh. Ini kerana, cecair lubrikasi ini mempunyai kandungan bahan pengawet tertentu yang mungkin boleh menyebabkan reaksi alahan dan juga merosakkan kanta sentuh yang dipakai oleh pengguna.
- Ingatkan diri untuk mengelipkan mata lebih kerap bagi mengelakkan mata menjadi kering.
3. Rabun Penglihatan Bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan
seperti miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan juga presbiopia (lemah
akomodasi akibat peningkatan umur), penggunaan komputer pada jangka waktu yang
terlalu lama boleh mendatangkan masalah terhadap sistem penglihatan.
- Disarankan supaya pengguna-pengguna komputer yang menggunakan komputer lebih daripada satu jam sehari memakai cermin mata khusus bagi penggunaan komputer (computer glasses). Terdapat pelbagai jenis cermin mata khas yang berada dipasaran bagi penggunaan komputer. Di antaranya ialah cermin mata jenis bifokal, multifokal, dan juga progresif. Pemilihan jenis cermin mata adalah bergantung kepada keperluan pengguna serta nasihat dan konsultasi daripada Optometris bertauliah. Optometris perlu menjalankan pemeriksaan refraksi khas bagi tujuan ini untuk membolehkan cadangan dan saranan dikemukakan kepada pengguna bagi memilih jenis cermin mata yang besesuaian dengan kehendak dan keperluan pengguna komputer.
Kesimpulan
Para
pengguna komputer yang mengalami sindrom penglihatan komputer akan mengalami
pelbagai masalah dan juga simptom, samada berkaitan penglihatan ataupun tidak.
Adalah penting bagi optometris dan pakar penjagaan penglihatan menjalankan
pemeriksaan yang terperinci khususnya dari segi keperluan dan kehendak pengguna
komputer serta mengetahui simptom-simptom dan tanda-tanda yang berkaitan dengan
penggunaan komputer. Sindrom ini boleh dielakkan dan dirawat dengan menggunakan
pelbagai kaedah seperti melakukan pengubahsuaian ergonomik, pemakai cermin mata
yang bersesuaian, perubahan pencahayaan serta pengamalan penggunaan penglihatan
secara sihat (visual hygiene). Bagi kebanyakkan orang, penggunaan
komputer adalah amat penting lebih-lebih lagi dalam era teknologi dan
globalisasi kini, samada penggunaan di rumah mahupun di pejabat. Banyak lagi
perkara yang perlu difahami tentang kesan penggunaan komputer terhadap sistem
penglihatan. Namun langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan di dalam
artikel ini mampu sedikit sebanyak perlindungan terhadap mata pengguna serta
mencegah masalah-masalah yang mungkin timbul di dalam apa yang dikatakan sebagai
epidemik abad ke-21.
Semakan
Akhir
|
:
|
08
Mei 2012
|
Penulis
|
:
|
|
Akreditor
|
:
|
Profesor
Dr Azrin Esmady Bin Ariffin
|
Penyemak
|
:
|
Dr.
Salmah Othman
|
No comments:
Post a Comment